CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
Scroll Text - http://www.marqueetextlive.com

Sunday, February 20, 2011

Cantik Sangatkah Diri Kita Ini?

Apakah yang kita lakukan apabila bangun pagi? Biasanya, setelah menggeliat dan  menggenyeh mata, kita akan terus ke bilik air untuk menggosok gigi.  Selepas itu mandi, bersabun dan bersyampu. Usai bersolat, kita bersolek.  Bagi perempuan, wajah jadi cantik setelah dilukis semula. Bagi lelaki  pula, wajah kembali terurus setelah membuat landscaping kecil dengan menebas misai dan janggut serta menyikat rambut.
Buat  orang lelaki, tali leher yang terjerut kemas akan menampilkan gaya yang  segak. Bagi orang perempuan, busana yang diperagakan akan menganggunkan  ketrampilan. Perfume yang disembur menyegarkan bau tubuh dan  menaikkan aura. Orang yang berselisih dengan kita boleh terhenti untuk  menghidu bau minyak wangi yang kita pakai.
Itulah  kebiasaan yang kita lalui sebagai manusia yang berkerjaya. Bagi golongan  suri rumah, pelajar, mahupun yang masih belum bekerja, rutin harian  yang dilalui lebih kurang sama juga. Dalam masa tidak sampai sejam, kita  sudah pun siap. Kita lalui semua proses mendandan diri separuh robotik  ini sebaik sahaja bangun tidur.
Namun, pernahkah kita  berhenti seketika, termenung dan merenung kembali buat seketika? Apabila  bangun tidur, sebelum melompat atau bermalas-malas mengheret kaki ke  bilik air, terciumkah kita bau tubuh sendiri terutamanya bau yang datang  daripada mulut kita? Wangikah ia?
Apabila membelek wajah  di cermin, lihatlah kelayuan mata sendiri yang cengkung dan  bergelanggang kerana belum dipalit kelilingnya dengan celak dan shadow. Berapa garis kedutkah yang kita ada. Kurang daripada sepuluh atau sudah  tidak terkira? Biasanya kita tidak sempat membilangnya kerana  cepat-cepat menutupnya dengan bedak.
Bila diperhatikan  betul-betul, rambut kita yang ikal seperti seludang kelapa sudah semakin  lurus seperti berus periuk terpakai. Tidak lama lagi, warna putihnya  akan melebihi warna hitamnya. Misai yang tebal pun sudah jarang-jarang  dan tidak tentu hala tumbuhnya.
Otot-otot di tepi bibir  yang biasanya ternaik hingga menyerlahkan wajah kita seperti orang yang  sentiasa tersenyum, kini sudah kendur. Akibatnya, wajah kita yang serius  kelihatan seperti sedang mencebir; menjadikan wajah kita persis orang  yang sudah putus urat senyumnya.
Carilah kembali tanda  lahir di tubuh, sama ada tompok putih di belikat atau garis di celah  paha ~ yang hanya diketahui juga oleh pasangan kita; yang juga  menandakan kita bukan manusia sempurna seperti batang tubuh artis yang  sudah diphotoshop di komputer. Bagaimana pula perut yang punyai kesan  pecah lemak hingga berjalur-jalur pecah seribu, tompokan hitam atau  kutil yang mula tumbuh di merata tubuh?
Dan, lihatlah diri kita  secara keseluruhan di cermin secara 360 darjah. Tataplah bentuk tubuh  kita sendiri daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki. Kepala,  leher, tengkuk, bahu, lengan, dada, perut, paha, betis dan akhir sekali,  kaki. Eh, sejak bila lubang hidung kita dah tak sama saiz rongganya?  Bila pula tubuh kita rebeh sebelah?
Kita kini tidak lagi  persis model yang cantik dengan keluk, lekuk dan luk di  bahagian-bahagian yang sepatutnya. Justeru itu, apakah kita kini seorang  manusia... atau kita telah bertukar menjadi makhluk yang menggelembung di  sana-sini di bahagian-bahagian yang tidak seharusnya?
"Tidur itu saudara mati." Demikian sabda Rasulullah, s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Bazzar,  al-Tabarani dan Baihaqi. Ertinya, bangunnya kita daripada tidur itu  seumpama bangun daripada mati. Wajah kita pucat, tidak terurus, tidak  bermaya dan berbau. Sebenarnya tubuh dan wajah kita amat hodoh sekali!
Tetapi,  oleh kerana terlupa mahu melihat kekurangan fizikal diri sendiri,  kerana hendak berkejar menyoleknya, maka kita sudah alpa akan kecacatan  bentuk zahir kita. Apabila kita menyarung baju yang lengkap dengan jalur  dan warnanya, atau ropol dan rendanya, kita kelihatan segak sekali.  Maka apabila mengatur langkah dengan bergaya kerana kasut tumit tinggi  menjadikan postur tubuh membusung di ponggong dan dada... wah siapa yang  tidak ingin menatap lebih daripada sekali?
"Allah  (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu  jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan  jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan  jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain  (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang  demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah  bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)." (Az-Zumar 39:42)
Sedangkan  fizikal kita sendiri kita lupakan kerana sentiasa disalut dengan  pakaian yang indah-indah, bagaimana pula dengan spiritual kita? Jika  yang boleh dilihat itu tidak selalu dipandang, bagaimana pula dengan  bahagian diri kita yang tidak dapat ditilik?
Apakah batin kita secantik yang kita anggap selama ini?
Ataupun ia lebih hodoh daripada kita yang zahir ini?

No comments:

Post a Comment

.::Cool Music::.